Pengawal kebangsaan AS dijangkiti virus selepas protes


Anggota polis dan pengawal kebangsaan ketika dikerahkan mengawal penunjuk perasaan terhadap kematian George Floyd di Minnesota. – Gambar EPA, 10 Jun, 2020.

ANGGOTA Pengawal Kebangsaan Washington DC diuji positif koronavirus selepas dikerahkan bertugas semasa tunjuk perasaan baru-baru ini di ibu negara Amerika Syarikat (AS), kata kenyataan pada Selasa.

Jurucakap Pengawal Kebangsaan DC Brooke Davis berkata mereka tidak boleh mendedahkan jumlah yang diuji positif kerana faktor “keselamatan operasi.”

Beliau berkata ia diperoleh selepas 1,700 anggota dikerahkan bertugas ketika tunjuk perasaan yang meletus di depan White House dan di tempat lain berhubung pembunuhan lelaki berketurunan Afrika-Amerika, George Floyd oleh seorang pegawai polis Minneapolis.

Pengawal dikerah oleh datuk bandar dan kemudian kerajaan persekutuan pada 1 Jun untuk membantu menjaga ketenteraman selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan dan rampasan.

Mereka disaring untuk Covid-19 sebelum dan selepas kerahan, kata Davis.

Walaupun banyak penunjuk perasaan memakai topeng semasa rusuhan tetapi tidak semua berbuat demikian, dan ramai anggota penguatkuasa dan pengawal juga tidak memakai topeng.

“Anggota Pengawal Kebangsaan mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan PPE ketika kerahan,” kata Davis.

Covid-19 meragut hampir 112,000 nyawa di AS sejak ia merebak dari China dan Eropah pada awal tahun ini. AS melaporkan sekitar 2 juta kes - daripada jumlah keseluruhan di seluruh dunia sebanyak 7.2 juta. – AFP, 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen