Kuarantin di rumah kerana kes rendah dan kos mahal, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Hanya 0.2% daripada 50,000 warga Malaysia yang pulang dari luar negara positif Covid-19, menyebabkan mereka kini dibenarkan kuarantin di rumah masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

DISEBABKAN jumlah kes Covid-19 yang rendah dikesan dalam kalangan warga Malaysia yang baru pulang dari luar negara, Putrajaya kini membenarkan mereka menjalani kuarantin di rumah masing-masing, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Putrajaya tidak lagi meletakkan rakyat Malaysia dari luar negara di pusat kuarantin kerajaan.

Daripada 50,000 rakyat yang pulang, hanya 554 atau 1% diuji positif, kata Dr Noor Hisham.

Ujian kedua selepas kuarantin dua minggu pula menunjukkan hanya 134 kes atau 0.2% daripada keseluruhan kes diuji positif.

“Angka itu rendah. Bila kita pertimbangkan kos hotel untuk kuarantin, kos itu terlalu tinggi berbanding kadar jangkitan yang rendah,”

Katanya, mereka yang menjalani kuarantin di rumah perlu memakai peranti tangan dan menggunakan aplikasi telefon pintar MySejahtera untuk memudahkan pengesanan pergerakan mereka.

Ahad lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air tidak lagi dihendaki menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat disediakan kerajaan.

Mereka yang pulang akan disaring di lapangan terbang, kes positif yang dikesan di situ akan dihantar ke hospital serta merta.

Mereka yang ujiannya negatif diminta menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Peranti tangan itu yang tidak boleh dibuka selama dua minggu membolehkan pihak berkuasa mengesan mereka yang diletakkan di bawah arahan kuarantin rumah.

Tambahnya, mereka yang meninggalkan rumah mereka dalam tempoh kuarantin, sekiranya ditangkap akan didenda atau didakwa.

Setakat 7 Jun lalu, terdapat 156 pusat kuarantin yang menempatkan 14,665 individu, kata Ismail Sabri lagi.

Sejak 3 April lepas, 50,873 warga Malaysia yang pulang dari luar negara sudah dikuarantin. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen