PUTRAJAYA akan memantau situasi wabak Covid-19 sehingga 31 Ogos sebelum mempertimbangkan melonggarkan sekatan sempadan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.
Rakyat Malaysia dan penduduk tetap tidak dibenarkan keluar negara sejak 18 Mac lalu. Warganegara yang berada di luar Malaysia pula dibenarkan pulang, tetapi perlu menjalani saringan kesihatan sebaik tiba dan kuarantin wajib selama 14 hari.
Warga asing pula dibenarkan keluar Malaysia tetapi tidak dibenarkan masuk.
Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan bermula pada 10 Jun sehingga 30 Ogos, dalam tempoh ini perjalanan rentas negeri dibenarkan.
“Kita mengangggap tempoh ini sebagai tempoh percubaan dan kami akan memantau situasi dan memastikan Covid-19 dapat dikawal,” kata Dr Noor Hisham hari ini di Putrajaya.
“Kami sedang meneliti kadar keberkesanan dan membenarkan semua sektor untuk dibuka…jika setiap dan semua orang mematuhi SOP yang kami sebut setiap hari, kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini tanpa vaksin,” katanya, merujuk kepada kejayaan New Zealand yang melaporkan tidak lagi mempunyai kes aktif Covid-19.
“Jika kita patuh, kita boleh turunkan kes ke angka tunggal, kekalkan angka tunggal dan mungkin sasar sifar kes, yang boleh dilakukan jika kita bekerja sebagai satu pasukan.”
Sepanjang PKP yang bermula 18 Mac lalu, perjalanan udara rentas sempadan hanya dibenarkan untuk laluan keluar masuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan hanya untuk mereka yang mahu pulang ke tempat asal masing-masing. – 9 Jun, 2020.
Komen