Biar negara ahli Konvensyen Pelarian PBB terima Rohingya, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

269 orang yang mendarat di Langkawi semalam akan dihantar pulang ke Cox Bazar atau Pulau Bhashan Char. – Gambar AFP, 9 Jun, 2020.

NEGARA yang menandatangani Konvensyen Pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu sepatutnya menerima pelarian Rohingya, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak menerima pelarian Rohingya ketika ditanya wartawan tentang tindakan terhadap 269 pelarian yang mendarat berhampiran Pulau Langkawi, semalam.

“Kita tak akan terima Rohingya. Mungkin negara lain boleh, mereka yang tandatangan konvensyen (pelarian) boleh ambil mereka.

“Jika mereka mendarat di sini, kita akan hantar mereka balik ke Cox Bazar di Bangladesh atau Pulau Bhashan Char yang dibangunkan untuk menempatkan Rohingya,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Kumpulan 269 pelarian Rohingya tiba menggunakan bot semalam ditahan selepas beberapa orang daripada mereka terjun ke laut apabila dihampiri bot pengawal keselamatan pantai Malaysia, menurut akhbat New Straits Times.

Pelarian lain dibawa ke darat selepas mayat wanita dijumpai dalam bot.

Ismail Sabri berkata lagi, bot yang tiba semalam tidak boleh diarah berpatah balik kerana rosak teruk dan tidak lagi boleh digunakan.

“Sama ada kita selamatkan mereka atau biar mereka mati. Kita tak boleh biarkan mereka mati jadi kita selamatkan mereka tetapi kita akan hantar mereka semula ke Cox Bazar jika mereka berasal dari situ.”

Malaysia yang dahulunya menerima minoriti itu, mengarahkan 22 bot pelarian yang cuba memasuki negara ini secara haram berpatah balik sejak awal Mei dalam usaha mengekang kes import Covid-19.

Bot itu diberikan bekalan makanan dan air oleh pihak berkuasa sebelum diarah berpatah balik.

Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian PBB 1951. Pelarian boleh mendapatkan kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) tetapi tidak dibenarkan bekerja di negara ini. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen