Zoo, surau kompleks beli belah dan lebuh raya dibuka esok


Alfian Z.M. Tahir

Zoo dan surau di kompleks beli belah dan lebuh raya antara kawasan yang dibenarkan kembali beroperasi esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

ZOO, surau di kompleks beli belah dan hentian rehat lebuh raya (RnR) adalah kawasan terbaru dibenarkan kembali beroperasi ketika kerajaan mula melonggarkan lebih banyak sekatan pergerakan dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata orang awam bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menghalang jangkitan Covid-19.

“Kami memutuskan untuk membuka surau di kompleks beli belah dan lebuh raya esok.

“Tetapi, orang awam perlu mengikut SOP seperti penjarakan sosial dan penggunaan pencuci tangan,” katanya pada sidang media haria perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Surau di kompleks beli belah dan lebuh raya ditutup ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac lalu.

Beliau turut menyenaraikan zoo untuk dibuka semula.

“Kami berbincang perkara ini dan kami putuskan untuk benarkan zoo kembali dibuka,” kata menteri kanan yang juga jurucakap Majlis Keselamatan Negara itu.

Sementara itu, menjawab soalan wartawan, Ismail Sabri menjelaskan galeri lukisan dan muzium juga boleh dibuka tertakluk kepada kelulusan SOP yang akan dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kepada Majlis Keselamatan Negara.

“Balai Seni Negara tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh buka, tetapi kementerian perlu bentangkan SOP terlebih dahulu,” katanya.

Bermula esok, Malaysia akan memasuki era perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membolehkan pelancongan dalam negara, perjalanan rentas negeri dan kebanyak aktiviti dan perkhidmatan dibuka semula dengan SOP ditetapkan kerajaan, tetapi semua aktiviti melibatkan sentuhan fizikal dan khalayak ramai masih dilarang. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen