Korea Selatan anjur seminar kongsi pengalaman tangani Covid-19


Guru memeriksa suhu badan murid sebelum masuk ke kawasan sebuah sekolah menengah di Korea Selatan. – Gambar AFP, 9 Jun, 2020.

KOREA Selatan dijadual menganjurkan seminar bertujuan berkongsi pengetahuan dan pengalaman negara ini dalam menangani wabak Covid-19, pada minggu ini, lapor agensi berita Yonhap.

Seminar dalam talian itu adalah siri yang terakhir, kata Kementerian Luar pada Selasa.

Siri kelima webinar itu diadakan sebagai memenuhi permintaan banyak negara luar yang mahu Korea Selatan berkongsi langkah pencegahan yang dilaksanakan dalam memerangi Covid-19.

Korea Selatan menerima pujian ekoran pendekatan “kesan, uji dan rawat” yang dilaksanakan negara ini terbukti membuahkan hasil dalam meratakan lengkung jangkitan tanpa sekatan pergerakan atau menutup sempadan. 

Setakat Selasa negara itu mencatatkan 11,852 kes dengan 274 kematian.

Seminar itu akan disiarkan secara langsung di http://medicalkorea.mlive.kr, dan terjemahan dalam bahasa Inggeris, Rusia dan Perancis turut disediakan.

Lebih 2,200 peserta dari 110 negara telah menyertai empat seminar sebelum ini, tambah kementerian itu. – Bernama, 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen