BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad muncul di ibu pejabat PKR petang ini bagi menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKR Anwar Ibrahim itu menjadi perhatian ekoran spekulasi bahawa gabungan parti itu mendapat sokongan untuk mengambil alih kerajaan.
Turut hadir bersama Dr Mahathir ialah anaknya, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir dan bekas setiausaha agung Bersatu Marzuki Yahya.
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang turut hadir enggan memberi kenyataan kepada media mengenai tujuan mesyuarat tersebut.
Shafie yang tiba pada jam 2.38 petang itu hanya berkata ini merupakan kali pertama beliau datang ke ibu pejabat PKR.
Gambar yang tersebar di media sosial petang ini juga menunjukkan mesyuarat itu disertai rakan sejawatnya dari Amanah, Mohamad Sabu dan juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Minggu lepas pemimpin PH dari Amanah dan DAP mengadakan dua pertemuan berasingan dengan Dr Mahathir dan Anwar.
Mesyuarat itu berlangsung ekoran desas-desus bahawa gabungan itu mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
China Press minggu lepas melaporkan Dr Mahathir dan Anwar sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan kepada baginda bahawa mereka kini mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Kesahihan laporan akhbar berbahasa Cina itu bagaimanapun tidak dapat disahkan. – 9 Jun, 2020.
Komen