Pelajar boleh pulang ke universiti di luar negara, kata Ismail Sabri


Kerajaan memberi pengecualian kepada yang ingin ke luar luar negara tetapi tertakluk dengan kebenaran imigresen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

PELAJAR yang ingin kembali ke universiti mereka di luar negara, sekiranya perlu, boleh dibenarkan untuk keluar dari Malaysia, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Pengecualian itu diberikan atas permohonan dan ia tertakluk kepada kebenaran pihak Jabatan Imigresen, katanya.

Jelas beliau, dasar keselamatan dan kesihatan tetap tidak berubah, walaupun kerajaan melonggarkan hampir sepenuhnya perintah kawalan pergerakan, yang akan masuk ke fasa pemulihan bermula esok.

“Bagi rakyat yang hendak ke luar negara, kita ada pengecualian misalnya untuk pelajar yang terpaksa pulang ke universiti untuk mengambil peperiksaan. 

“Kita boleh benarkan tetapi tertakluk dengan kebenaran daripada imigresen,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan melalui televisyen.

Jelas Ismail, pintu sempadan masih ditutup dan hanya dibuka kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, atau warga asing yang sememangnya tinggal dan bekerja di Malaysia, termasuk peserta Malaysia Rumah Kedua. 

“Itu kita beri pengecualian kerana mereka tinggal di sini. Itu kita benarkan dengan SOP yang ketat, perlu dikuarantin dan perlu buat permohonan melalui Jabatan Imigresen,” katanya. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen