TUDUHAN rasuah terhadap Musa Aman tidak berasas kerana wang yang terlibat adalah “dana politik”, kata ketua peguam belanya.
Musa, 69, pagi ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan menarik balik semua 46 pertuduhan atas arahan Pejabat Peguam Negara.
Ahli politik Umno itu dituduh menggunakan kapasitinya sebagai ketua menteri dan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, menerima AS$50.1 juta (RM220.2 juta) daripada lapan syarikat konsesi pembalakan sebagai suapan meluluskan konsesi pembalakan bagi 16 syarikat antara 2004 hingga 2008.
Ketua pasukan pertahanan Musa, Amer Hamzah berkata perkara itu diselesaikan dalam siasatan sebelumnya, yang mendapati wang itu adalah sumbangan politik oleh penyokong parti, penderma politik, orang ramai dan daripada Barisan Nasional serta kepemimpinan pusat Umno.
Wang itu digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya dan lain-lain kegiatan politik.
“Segala dokumen-dokumen yang relevan dan berkaitan telah dibekalkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Amer dalam satu kenyataan hari ini.
“Pada semua masa material, sumbangan-sumbangan politik tersebut tidak melibatkan mana-mana projek untuk negeri Sabah, konsesi pembalakan dan bukan atas dasar balas-membalas (not on a quid pro quo basis).
“Pemberian ataupun penerimaan sumbangan politik bukanlah merupakan suatu kesalahan di Malaysia.”
Amer berkata perkara itu dijelaskan dalam pernyataan 7 Oktober 2017 oleh timbalan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki yang berkata pemberian dan penerimaan sumbangan politik bukanlah suatu kesalahan dan SPRM tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara tersebut.
“Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami percaya Peguam Negara Idrus Harun berserta barisan timbalan-timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes ini, telah meneliti, dan mempertimbangkan permohonan yang kami telah failkan di mahkamah secara objektif dengan mengambil kira segala sudut undang-undang dan juga aspek keadilan,” katanya. – 9 Jun, 2020.
Berita penuh di sini
Komen