LEBIH 16,000 orang sudah menandatangani petisyen untuk menghalang Kementerian Pendidikan menamakan semula sekolah rendah dan menengah St Thomas di Kuantan, Pahang.
Petisyen yang bertajuk “Stop changing the name of mission schools in Malaysia” dilancarkan pada Selasa dan berjaya meraih 10,000 tandatangan pada 24 jam pertama ia wujud. Sehingga jam 7.00 pagi hari ini, petisten itu sudah disokong oleh 16,341.
Ramai yang menandatangani petisyen itu percaya yang perubahan nama itu adalah cubaan untuk memadamkan sejarah dan warisan sekolah yang sudah bermula sejak zaman sebelum Kemerdekaan iaitu pada 1950.
Mary Magdalen N.Arokia Das berkata kerajaan sepatutnya menyokong usaha sekolah mubaligh itu dan tidak “memadamkan mereka daripada halaman sejarah kerana alasan yang tidak dapat diterima”.
“Pendidikan di bawa masuk ke Malaysia dan dibangunkan oleh Mubaligh Kristian yang datang sekitar kurun ke-15.
“Antaranya ialah Infant Jesus Sisters, La Salle Brothers, Gabrielite Brothers, Good Shepherd Sisters dan ramai lagi yang unggul dalam pendidikan awal di Malaysia.
“Sekurang-kurangnya apa yang kita boleh lakukan untuk menghargai sumbangan mereka adalah dengan memelihara sekolah mubaligh. Ia boleh dianggap warisan sejarah negara yang perlu dipelihara,” tulisnya dalam petisyen di change.org itu.
Seorang lagi penyokong, VM Mellina menulis yang kerajaan “jangan ganggu sejarah”.
“Apa salahnya dengan mengekalkan nama sekolah mubaligh ini?? Lagipun ia diasaskan oleh mubaligh Kristian! Jangan ganggu sejarah!” katanya selepas menandatangani petisyen itu.
Wong Chee Fatt menulis: “Saya tandatangan ini kerana pihak berkuasa kita mengabaikan sejarah dan cuba menulis kembali semua fakta sejarah.”
“Wow! Sekolah ini kaya dengan warisan. Sangat memalukan dan tidak perlu mengubah namanya. Kekalkan ia supaya alumni boleh mengingatinya dengan bangga,” tulis Thomas Goh. – 30 November, 2017.
Komen