Cadangan caj tambahan untuk kedai gunting rambut kecil, kata gabungan


Alfian Z.M. Tahir

Kedai gunting rambut kecil-kecilan kebiasaannya mengenakan caj pemotongan yang rendah dan sukar untuk menampung kos tambahan bagi sarung tangan getah dan apron pakai buang serta cecair pembasmi kuman bagi memenuhi SOP yang ditetapkan KKM, kata wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Jun, 2020.

KENAIKAN caj pemotongan dan dandanan rambut antara RM5 hingga RM10 dicadangkan untuk kedai gunting rambut dan salun kecil sahaja, kata wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto.

Menurutnya, kedai gunting rambut kecil kebiasaannya mengenakan caj pemotongan yang rendah dan sukar bagi pengusaha untuk menampung kos tambahan bagi sarung tangan getah dan apron pakai buang serta cecair pembasmi kuman bagi memenuhi SOP yang ditetapkan untuk beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Rabu.

“Ada sedikit salah faham dalam laporan berita yang memetik kenyataan saya berkenaan kenaikan caj.

“Kenaikan caj sepatutnya untuk kedai gunting rambut dan salun dandanan rambut kecil, yang mengenakan antara RM20 hingga RM25 bagi setiap pelanggan. Mereka perlu menampung kos sarung tangan getah dan apron pakai buang.

“Bagi kedai gunting rambut dan salun besar di pusat bandar atau kawasan bandar yang mengenakan antara RM60 hingga RM80 seorang, malah ada yang lebih tinggi, yang pada saya tak patut untuk naikkan caj untuk tampung kos,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jika kedai gunting rambut atau salun dandanan mahu naikkan caj, pengusaha perlu mempamerkan caj perkhidmatan di premis masing-masing, tambah beliau.

“Akhirnya nanti pelanggan yang akan buat keputusan.

“Kalau pengusaha mahu naikkan caj, pamerkan harga supaya pelanggan boleh buat keputusan,” jelas Bambang.

Bambang semalam dilaporkan berkata gabungan itu bersetuju untuk menaikkan caj pemotongan dan dandanan rambut antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan.

Ia dipersetujui oleh tujuh persatuan gunting rambut yang menyertai gabungan berkenaan, berikutan peningkatan kos operasi untuk menyediakan peralatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membendung penularan Covid-19.

Kenaikan itu adalah minimum, mengambil kira kapasiti pelanggan akan berkurang untuk mengekalkan jarak sosial.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi semalam berkata kadar baharu caj gunting rambut mestilah sejajar dengan  kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha dan bukannya membebankan pengguna.

Presiden Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia (Mihass) Mohd Jaafar Salim Thamby juga senada dengan Bambang bahawa kenaikan caj hanya untuk pengusaha kedai gunting rambut dan salun dandanan kecil-kecilan.

“Kalau sudah kenakan caj gunting rambut antara RM40 hingga RM80, saya tak rasa perlu naikkan harga untuk tampung kos sarung tangan getah dan apron.

“Tetapi, bagi kedai kecil-kecilan yang kenakan caj antara RM20hingga RM26, malah ada kedai yang masih kenakan caj RM7, mereka ini perlu tampung kos,” katanya.  – 8 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen