700,000 mendaftar MySejahtera dalam seminit 


Ragananthini Vethasalam

SEBANYAK 700,000 pendaftaran aplikasi MySejahtera dalam masa satu minit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Mereka yang mahu mendapatkan kredit e-dompet RM50 yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) perlu memuat turun aplikasi MySejahtera.

“700,000 pendaftaran dalam masa satu minit.

“Kami nasihatkan mereka yang mahu muat turun aplikasi itu untuk berikan ruang. Sekiranya kita berikan ruang, kesesakan tidak terlalu tinggi,” kata Dr Noor Hisham.

Terdahulu, kementerian menerusi Facebook berkata pendaftaran MySejahtera mengalami kesesakan dan mereka yang mahu berbuat demikian boleh mencuba kemudian.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian juga akan melihat sama ada perkhidmatan itu akan dilanjutkan.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia perlu memuat turun aplikasi berkenaan untuk mendapatkan kredit e-dompet sebanyak RM50.

Ia dijangka akan dikreditkan ke akaun e-dompet yang sah bermula Julai.

Ismail berkata, ia bagi menggalakkan rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MySejahtera yang akan membantu pihak berkuasa kesihatan dalam usaha untuk menghentikan penularan wabak Covid-19. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen