Tidak boleh kongsi minuman, tuala dan peralatan, kata menteri 


Ravin Palanisamy

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata pengendali premis sukan juga perlu mendaoat kelulusan Miti untuk menyambung semula operasi mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

INDIVIDU yang menggunakan kemudahan sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilarang berkongsi minuman, makanan, pakaian, tuala dan peralatan peribadi, kata Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican.

Beliau juga berkata, di bawah prosedur operasi standard yang dilaksanakan kerajaan, rakyat perlu memuat turun aplikasi MySejahtera ke telefon bimbit masing-masing bagi memudahkan pengesanan kontak.

“Mereka juga dilarang berjabat tangan antara satu sama lain dan perlu kurangkan interaksi sosial.

“Kita juga tidak menggalakkan kanak-kanak bawah 12 tahun dan golongan kelainan upaya (OKU) untuk menyertai aktiviti ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, kerajaan membenarkan Gym, pusat sukan tertutup dan pusat snuker beroperasi bermula 15 Jun di bawah PKPP, serta sukan tanpa sentuhan badan.

Ini termasuk badminton, balapan dan sukan permotoran, dan juga aktiviti rekreasi seperti yoga dan aerobik.

Mengulas lanjut mengenai SOP, Reezal berkata pengurusan kemudahan sukan ini juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menerusi laman webnya sebelum beroperasi semula.

“Pembukaan akan diluluskan setelah notis lengkap dan akan bermula dari 15 Jun untuk memberi masa kepada pemilik untuk merancang dan membuat persediaan,” katanya.

Tambahnya, butiran SOP akan diumumkan tidak lama lagi.

“Majlis Keselamataan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan akan memuat naik SOP terkini hari ini atau pada masa terdekat untuk rujukan.

“Terdapat 12 syarat bagi protokol individu umum dan 18 syarat bagi protokol pengurusan umum,” katanya.

Tambahnya, pengendali juga antara lain perlu menyediakan prosedur dalaman bagi mengelakkan penularan Covid-19 dan mengawal jumlah kakitangan dan pengguna pada satu-satu masa mengikut keluasan premis.

Selain itu katanya, peralatan juga perlu dibersihkan dan disinfeksi sebelum dan selepas digunakan, hadkan jumlah individu di bilik mandi atau bilik persalinan pada satu masa dan bersihkan atau disinfeksi premis/peralatan mengikut kekerapan ia digunakan. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen