KEMENTERIAN Kesihatan akan membincangkan perincian berhubung tarikh pembukaan sekolah dengan Kementerian Pendidikan esok, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kita akan bincangkan tarikh pelaksanaan yang sesuai,” kata ketua pengarah kesihatan hari ini.
Katanya, ibu bapa akan diberikan tempoh dua minggu bagi membuat persediaan untuk menghantar anak-anak mereka kembali ke sekolah dan keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang akan menduduki peperiksaan penting.
“Inilah rancangan kita namun kita akan bincangkan dalam mesyuarat dengan KPM esok,” tambahnya.
Pendidikan merupakan antara sektor yang akan dibuka semula bersama aktiviti sosial dan sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.
Sekolah ditutup sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.
Malaysia hari ini merekodkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 paling rendah dengan hanya tujuh kes, sejak penguatkuasaan PKP.
“Ini merupakan jumlah paling rendah direkodkan setakat ini,” kata Dr Noor Hisham.
Jumlah kes baharu itu menadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 8,329.
20 orang turut dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 6,694.
Jumlah kes aktif kekal 1,518 dan jumlah kematian juga kekal 117. – 8 Jun, 2020.
Komen