SEORANG bayi berusia lapan bulan antara tujuh kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes dikesan melalui saringan sebelum pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.
“Kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan bulan yang bergejala dan menjalankan pembedahan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Seperti kes-kes positif lain, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesan kontak rapat dan keluarga bayi untuk menjalani ujian saringan, tambah beliau.
KKM juga katanya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan punca jangkitan.
Malaysia merekodkan jumlah kes baharu paling rendah dengan tujuh kes dilaporkan hari ini, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.
“Ini merupakan jumlah kes terendah yang pernah dicatat setakat ini,” kata Dr Noor Hisham.
Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 8,329, tambah beliau.
Sementara itu, 20 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar wad setakat tengah hari tadi, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh 6,694 orang.
Seramai 1,518 orang masih dirawat di hospital, tambah Dr Noor Hisham.
Ketua pengarah kesihatan itu juga berkata tiada sebarang kematian direkodkan hari ini namun terdapat peningkatan satu kes di unit rawatan rapi menjadi enam orang. – 8 Jun, 2020.
Komen