PENGENDALI aktiviti sukan tertutup seperti gimnasium, gelanggang badminton dan pusat snuker dibenarkan kembali beroperasi bermula 15 Jun, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap pada sidang media di Putrajaya, hari ini, Ismail Sabri berkata pengendali bagaimanapun perlu mengisi borang notifikasi pembukaan yang boleh diperolehi di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
“Mereka perlu isi borang supaya kita boleh pantau mereka,” katanya.
Tambahnya, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti permotoran, olahraga, yoga dan senaman juga dibenarkan.
“Kita juga benarkan latihan sendiri. Misalnya, jika anda perlu berlatih silat, taekwando atau karate, anda boleh lakukan sendirian bukan berkumpulan. Selagi mana tidak ada sentuhan fizikal tubuh badan,” jelasnya.
Ismail Sabri sekali lagi menegaskan sukan berkumpulan sentuhan fizikal seperti bola sepak, ragbi dan hoki masih dilarang, turut masih tidak dibenarkan beroperasi adalah aktiviti renang.
“Sukan air tak dibenarkan. Bola sepak, ragbi dan hoki yang merupakan sukan berkumpulan juga masih tak boleh,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sukan berkumpulan dibenarkan selagi mana ia tidak melibatkan sentuhan fizikal.
Antara sukan dibenarkan adalah boling, badminton, memanah, menembak dan sukan jenis lain.
Selain aktiviti sukan, kerajaan juga membenarkan aktiviti rekreasi seperti memancing termasuk di kolam komersial atau sesi persembahan muzik (busking) tertutup.
Kesemua aktiviti ini akan dibenarkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini, selepas semua aktiviti sosial diarah tutup sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – 8 Jun, 2020.
Komen