Pukau moden boleh angkat pencuri jadi hero, kata Dr Mahathir


Data raya seperti pukau moden yang membolehkan pencuri jadi hero, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

PENCURI boleh jadi hero dan didewa-dewakan menggunakan analisis data raya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam coretan di blognya hari ini, Dr Mahathir mengumpamakan analisis data raya zaman moden seperti kaedah “pukau” tradisional.

“Di zaman ini ‘pukau’ dilakukan dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan sehingga mereka melaku perbuatan yang luar biasa.

“Pukau moden ini berasas kepada sains dan psikologi. Maklumat terperinci dan menyeluruh (big data) berkenaan seseorang atau sesuatu kumpulan boleh didapati dari segala kegemaran memakan, membeli-belah, jenis hiburan, sukan, pelancongan dan lain-lain.

“Data yang didapati boleh dianalisa dengan komputer dan peribadi ditentukan. Dari data ini, strategi boleh dibentuk untuk mencapai matlamat,” tulisnya.

Katanya, syarikat menggunakan data raya untuk memasarkan produk dan memahami pelanggan sasaran serta merancang kempen jualan.

“Demikianlah jayanya proses ini sehingga pelanggan membeli sesuatu yang tidak dikehendaki olehnya, semata-mata kerana dipengaruhi oleh iklan yang faham sifat pembeli.

“Pukau” zaman moden ini juga digunakan dalam bidang politik untuk meraih sokongan tanpa mengira moral pemimpin terlibat, tambahnya.

“Di masa lampau ini kita sering lihat calon yang buruk mendapat sokongan dan kemenangan. Kempen yang diasaskan kepada kajian big data boleh menjadikan seorang penyangak dimuliakan dan disokong. Orang ramai boleh lupakan keburukan seseorang dan menjadinya hero yang didewa-dewakan,” kata ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Tetapi, menurut Dr Mahathir analisis data raya menelan belanja sangat tinggi.

“Kos oleh pakar analisa tetap tinggi. Hanya mereka yang kaya raya sahaja yang boleh upah.

“Tetapi bagi mereka yang berkepentingan dan berduit, mendapat khidmat pakar analisa big data tetap berbaloi. Fikirkanlah melalui cara ini pencuri boleh jadi hero yang didewa-dewakan,” kata negarawan berusia 94 tahun itu. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen