Adakah Dewan Rakyat akan bersidang Julai ini, soal Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassan gagal beri penjelasan sama ada Dewan Rakyat akan bersidang 25 hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos kerana PKPP berkuatkuasa dari 10 Jun hingga 31 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin semalam tidak boleh dijadikan alasan untuk membatalkan sidang Dewan Rakyat pada Julai, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Muhyiddin gagal memberikan penjelasan sama ada Dewan Rakyat akan bersidang 25 hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos kerana PKPP berkuatkuasa dari 10 Jun hingga 31 Ogos.

Menurutnya, Muhyiddin menjawab semua isu semasa PKPP diumumkan semalam kecuali sidang Dewan Rakyat.

“Adakah PKPP akan menjadi alasan menangguhkan sidang pada Julai?” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat bagi tahun ini diadakan pada 18 Mei tetapi hanya dihadkan untuk mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan urusan lain.

Pembangkang dan pengkritik berkata sidang sehari itu menyekat peranan ahli Parlimen dalam melaksanakan semak dan imbang terutamanya ketika sejumlah besar dana awam dibelanjakan untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Pembangkang juga mendakwa Muhyiddin cuba mengelak usul undi tidak percaya terhadapnya yang mempunyai majoriti tipis.

Dalam kenyataan sama, Lim turut mempersoalkan sama ada pembentangan Belanjawan 2021 akan dibatalkan, selepas Kabinet pada bulan lalu menangguhkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga ke tahun depan.  – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen