Bersatu, PAS dan Umno sedia hadapi PRU15, kata Takiyuddin


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mantap, sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN yang menjadi kerajaan semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

PAS menzahirkan keyakinannya bahawa parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mantap, sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN yang menjadi “government of the day” (kerajaan semasa).

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin bersama barisan kabinetnya yang terdiri daripada semua parti anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Takiyuddin berkata PAS yakin kerjasama dan sikap toleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri sehingga tamat penggal.

Menurutnya kerjasama politik di antara PAS dengan BN, khususnya Umno, dimuktamadkan melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada 14 Sept tahun lalu, sekali gus membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari lalu, diikuti pemeteraian memorandum persefahaman oleh pengerusi-pengerusi dan presiden BN, Bersatu, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” katanya. – Bernama, 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen