GYM dan pusat kesihatan dijangka kembali beroperasi pada pertengahan Jun memandangkan Putrajaya sudah membatalkan kebanyakan sekatan pergerakan bermula 10 Jun.
Difahamkan tarikh tepat pembukaan semula dan prosedur operasi standard baharu untuk mereka akan diumumkan Kementerian Belia dan Sukan minggu ini.
Antara peraturan baharu itu adalah sesi senaman perlu ditempah lebih awal, tiada sentuhan fizikal dibenarkan dan hanya sejumlah orang dibenarkan berada dalam premis pada satu-satu masa.
Beberapa pemilik memberitahu The Malaysian Insight yang mereka akan memulakan proses sanitasi pada 10 Jun sementara menanti kebenaran kembali beroperasi daripada kementerian.
Daniel Fitri, pemilik bersama pusat kesihatan Crossfit Pahlawan berkata, peraturan dan SOP yang dicadangkan terhasil daripada perbincangan lebih 100 pemilik dengan kementerian.
“Senarai peraturan akhir dan tarikh rasmi bilakah kami boleh kembali beroperasi akan dibuat tidak lama lagi,” katanya yang turut terlibat dalam perbincangan dengan kementerian.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembatalan lebih banyak sekatan yang dikuatkuasa kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk mengekang wabak Covid-19.
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasa sejak 4 Mei lalu akan digantikan dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.
PKPP membolehkan lebih banyak acara sukan dan rekreasi kembali beroperasi tetapi larangan sukan sentuh rapat seperti bola sepak, ragbi dan bola keranjang masih dikekalkan.
Di bawah PKPP, perniagaan yang memerlukan kontak rapat seperti kedai gunting dan dandanan rambut turut dibenar beroperasi.
Seorang lagi pengendali gym di Shah Alam, Shazwan Shamsuddin berkata, memandangkan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, Putrajaya juga akan membenarkan gym kembali dibuka bulan ini.
“Tetapi di bawah SOP baharu, gym kami hanya akan membenarkan maksimum 10 orang pada satu-satu ketika dan kami tidak menerima pelanggan tanpa temu janji,” kata Shazwan yang menguruskan Ongkai Fitness Gym.
“Ahli kami sudah dimaklumkan yang mereka perlu menempah sesi mereka terlebih dahulu dan hanya boleh datang pada masa ditetapkan.
“Pada 10 Jun, kami akan membuka semula gym kami untuk membuat perubahan bagi mematuhi SOP.”
Daniel daripada Crossfit Pahlawan pula berkata SOP itu menghendaki individu dijarakkan antara tiga sehingga lima meter untuk sesi latihan bina badan.
Alatan senaman pula perlu diletakkan berjauhan sebanyak 2.5 meter, katanya.
“Kami juga akan memeriksa suhu badan semua yang mahu masuk dan mereka yang memiliki suhu di atas 37.49 darjah Celsius tidak dibenarkan masuk. Pencuci tangan akan disediakan.”
SOP juga menghendaki alatan dan kemudahan di pusat kesihatan dinyah kuman sebanyak tiga kali sehari.
Jumlah pelanggan dalam premis pula bergantung kepada keluasan fasiliti, standardnya akan diumumkan kementerian. – 8 Jun, 2020.
Komen