New Zealand sahkan kes aktif terakhir Covid-19 pulih


New Zealand hari ini mengumumkan kes aktif terakhir Covid-19 negara itu pulih, ia tidak lagi melaporkan kes baharu selama 17 hari berturut-turut. – Gambar AFP, 8 Jun, 2020.

NEW Zealand tidak lagi mempunyai kes aktif Covid-19 selepas pesakit virus terakhir di negara itu disahkan pulih dan dibebaskan daripada isolasi, kata pihak berkuasa hari ini.

Kejayaan itu adalah “berita sangat baik” dan pencapaian yang wajar diraikan seluruh New Zealand, kata Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield.

“Pertama kali tidak lagi kes aktif sejak 28 Februari pastinya petanda besar dalam perjuangan kita, tetapi seperti yang kami katakan sebelum ini, perjuangan melawan Covid-19 akan terus diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan.

New Zealand meraih pujian dunia dalam usahanya mengekang wabak itu, yang melibatkan perintah berkurung tujuh minggu yang berakhir bulan lepas selepas wabak berjaya dikawal.

Negara dengan penduduk lima juta orang itu merekodkan 1,154 kes dengan 22 kematian.

Tidak ada jangkitan baharu selama 17 hari berturut-turut dan sehingga Isnin, hanya satu kes aktif yang sedang dirawat.

Butiran pesakit terakhir itu tidak dikeluarkan atas sebab privasi tetapi dipercayai melibatkan seorang wanita berusia 50-an dikaitkan dengan kluster rumah orang tua di Auckland.

“Kes itu bebas gejala selama 48 jam dan dianggap pulih. Pesakit sudah dibebaskan daripada isolasi,” kata jabatan kesihatan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern dijangka mengumumkan hari ini yang New Zealand akan menurunkan sistem amaran virus kepada Tahap 1, terendah dalam sistem empat tahap kecemasan kesihatan negara itu.

Di bawah tahap itu, sempadan masih ditutup tetapi sekatan dalam negeri seperti himpunan awam dan penjarakan sosial wajib akan dibatalkan. – AFP, 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen