POPE Francis berkata pada Ahad bahawa krisis terburuk koronavirus di Itali sudah berakhir.
Beliau berkata demikian buat kali pertama di dataran Saint Peter sejak darurat kesihatan bermula.
Ucapan pemimpin Katolik itu sehari selepas Vatican melaporkan tidak ada lagi kes Covd-19 baharu di dalam populasinya.
“Kehadiran anda dialu-alukan tanda bahawa fasa wabak akut di Itali sudah berakhir,” kata Francis di hadapan himpunan mingguan orang ramai untuk acara doa Angelus.
“Tetapi berhati-hatilah ... jangan merayakan kemenangan terlalu cepat,” tambahnya, memperingatkan keperluan untuk terus mematuhi penjarakan sosial.
Jurucakap Vatican, Matteo Bruni dalam satu kenyataan Sabtu lalu mengatakan bahawa orang terakhir yang disyaki dijangkiti koronavirus dalam beberapa minggu terakhir telah diuji negatif.
“Hari ini tidak ada lagi kes koronavirus di kalangan pekerja Vatican,” katanya.
Dua belas orang di Vatican dilaporkan telah dijangkiti virus tersebut.
Pope yang berasal dari Argentina itu menyatakan simpati kepada beberapa negara Amerika Latin seperti Brazil dan Peru, yang masih berjuang memerangi koronavirus.
“Malangnya di negara lain - saya memikirkan beberapa daripadanya - virus itu terus menyerang banyak mangsa,” katanya.
“Jumaat lalu, di satu negara, satu orang mati setiap minit! Mengerikan. Saya ingin menyatakan simpati saya terhadap penduduk negara tersebut, kepada yang sakit dan keluarga mereka, dan kepada semua orang yang menjaga mereka,” katanya. – AFP, 7 Jun 2020.
Komen