Wang rampasan RM600,000 dari dana bantuan, kata Pemuda Bersatu


Pemuda Bersatu mendakwa wang yang disyaki diseleweng tersebut adalah wang bantuan pandemik covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

WANG RM600,000 yang dirampas agensi antirasuah kerana disyaki diseleweng merupakan sebahagian bantuan berkaitan pandemik Covid-19, kata sayap Pemuda Bersatu.

Ia merupakan baki daripada bantuan makanan yang sudahpun diagihkan semasa Ramadan, kata kenyataan Pemuda Bersatu.

Sayap parti itu menyatakan demikian bagi menjelaskan laporan mengenai rampasan dibuat di dua rumah anggota pergerakan tersebut hari ini.

“RM600,000 yang disebut adalah sebahagian dari jumlah wang yang dikeluarkan bagi persiapan untuk kegunaan Bantuan Covid-19, Bulan Ramadhan dan Hari Raya.

“Hal ini adalah kerana ketidak tentuan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari.

“Fasa pertama bantuan makanan telah diedarkan diseluruh negara pada bulan Ramadan,” kenyataan itu dipetik.

Ia turut menyatakan bahawa bantuan kebajikan tambahan dibuat untuk kebajikan ahli.

“Ini adalah perkara asas bagi menjaga kebajikan ahli sepertimana yang dilakukan oleh Parti Bersatu di peringkat pusat.”

Sayap parti tersebut turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi siasatan.

Laporan Harian Metro lewat hari ini menyebut, dua ahli Pemuda Bersatu disiasat berhubung rampasan wang tersebut.

Laporan memetik kenyataan Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali menyebut, dua ahli tersebut disiasat pada 5 Jun.

Ia dilaporkan berhubung laporan bekas ketua pergerakan itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkait dengan kes kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

“Hasil soal siasat, kami pergi ke rumah kedua-dua ahli (Armada) berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan dilakukan menemui wang tunai berjumlah RM600,000 di dua lokasi terbabit,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Laporan itu juga menyebut, sebuah kereta bernilai RM100,000 milik pihak ketiga turut dirampas.

Kenderaan itu disyaki dibeli menggunakan dana yang disalahguna. – 8 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen