PENGUSAHA hotel dan pelancongan gembira kerana kerajaan membenarkan semula perjalanan rentas negeri dan percutian domestik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Mereka menjangka akan dapat memperkenalkan tawaran menarik untuk memikat pelanggan selepas hampir tiga bulan tidak dapat beroperasi sehingga menyebabkan industri itu kerugian lebih RM9 bilion.
Persatuan Agensi Pelancongan (Mata) menjangka kenaikan jumlah pelancong domestik mendadak apabila kebenaran itu berkuatkuasa 10 Jun.
Presidennya Mohd Khalid Harun berkata jumlah itu melonjak dari angka kosong – tiada tempahan sama sekali semenjak Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac.
“Tak mustahil angka itu akan naik sehingga 100% dalam tempoh yang singkat saja.
“Sebab kalau kita cakap mengenai pelancongan domestik ia termasuk rumah inap desa dan mereka yang pulang ke kampung dikira sebagai pelancongan domestik.
“Ini merupakan berita yang perlu disambut gembira (rentas negeri) oleh semua pihak tidak hanya hanya kepada sektor pelancongan saja,” katanya.
Katanya Mata bersama persatuan hotel lain mahu bertemu dengan kerajaan mengenai garis panduan lebih terperinci mengenai pembukaan operasi sektor pelancongan dalam masa terdekat ini.
Tambahnya, kebenaran rentas negeri dan pembukaan pelancongan juga perlu selari dengan sektor lain seperti pengangkutan kapal terbang dan bas bagi menghidupan sektor itu semula.
Persatuan Hotel Malaysia pula menjangka harga penginapan tidak berubah walau pengusaha hotel perlu berbelanja lebih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kebersihan.
Ketua pegawai eksekutifnya Yap Lip Seng berkata mereka akan menawarkan pakej menarik untuk tempoh ini.
“Pihak hotel juga akan terus menawarkan pakej menarik dan menjimatkan untuk pelanggan atau pelancong sekiranya membuat terus tempahan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mereka mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai kebenaran rentas negeri dan kelonggaran pelbagai sektor termasuk pelancongan bermula 10 Jun ini.
Beliau berkata dari SOP keselamatan dan kebersihan, hotel di Malaysia sudah bersedia menerima pelanggan mereka.
Katanya kaji selidik dijalankan persatuan ke atas 402 hotel pada Mei lepas mendapati 96% sudah mengamalkan SOP keselamatan dan kebersihan bagi mencegah Covid-19.
Jumlah selebihnya pula hanya menunggu pembukaan semula operasi hotel untuk melaksana SOP tersebut, katanya.
Beliau berkata hasil selidik juga merekodkan permintaan tempahan hotel perlahan tetapi konsisten untuk bulan yang akan datang dan permintaan kembali stabil pada 2021.
“Keseluruhannya permintaan tempahan hotel bagi tempoh suku tahun ketiga dan keempat pada tahun 2020 menunjukkan keperluan orang ramai untuk melancong.
“Mereka juga mengambil kelebihan dari promosi tawaran pakej yang dibuat hotel semasa tempoh PKP.
“Permintaan lebih stabil direkodkan pada tahun 2021 menunjukkan keyakinan orang ramai untuk melancong dengan adaptasi normal baharu pelancongan.
Pengumuman kebenaran melancong itu juga disambut baik Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) yang yakin ia akan menghidupkan semula sektor tersebut.
Presidennya Tan Kok Liang berkata keputusan itu selari dengan gesaan persatuan untuk mengutamakan usaha melonjakkan sektor pelancongan domestik.
Bagaimanapun beliau berharap sektor itu bukan pihak terakhir yang patut dipulihkan.
“Melonjakkan sektor pelancongan domestik perlu menjadi keutamaan dan bukanya dibuat pada waktu yang paling akhir sekali kerana ia turut berkait dengan rantaian sektor lain,”katanya.
Jelasnya ia meliputi tempat tarikan pelancongan, hotel, penerbangan, pengangkutan, peniaga dan sektor makanan dan minuman. – 7 Jun, 2020.
Komen