USAHA untuk mengekang penularan wabak Covid-19 akan diteruskan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 akan digunakan untuk memantau situasi.
Situasi kini terkawal berikutan kadar R-naught atau kadar pembiakan virus pada paras 0.3 beberapa minggu selepas Hari Raya dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berbanding R0 3.55 sebelum penguatkuasaan PKP.
“Kita masih memantau, meneruskan pemerhatian daripada 10 Jun hingga 21 Ogos. Sekiranya berlaku jangkitan kita akan kuatkuasakan PKPD.
“Apabila mencapai 31 Ogos, dan kes masih direkodkan satu atau dua digit, kita boleh rancang strategi menggunakan Akta 342,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, sekiranya pematuhan prosedur operasi standard tinggi selepas PKPP tamat, kerajaan akan mempertimbangkan untuk melonggarkan kawalan di sempadan antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, kementerian masih berharap agar vaksin dapat ditemukan, kerana mustahil untuk menghapuskan virus tanpa vaksin.
Katanya, ia terbukti dengan penularan wabak koronavirus sebelum ini seperti sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) dan Middle East respiratory syndrome (MERS COV), yang mana vaksinnya tidak pernah ditemui.
Kerajaan membatalkan PKPB dan menggantikan dengan PKPP berkuatkuasa 10 Jun hingga 31 Ogos.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, PKPP adalah kelonggaran perintah kawalan yang dikuatkuasakan sebelum ini pada 18 Mac untuk mengekang penularan wabak berkenaan.
Perjalanan rentas negeri, aktiviti agama dan mesyuarat antara yang dibenarkan di bawah perintah kawalan terbaharu ini. – 7 Jun, 2020.
Komen