Wisma Putra bantu rakyat Malaysia terjejas di benua Afrika 


KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN), melalui perwakilan Malaysia di Afrika, terus berusaha menyediakan alternatif terbaik bagi membantu rakyat negara ini di rantau itu yang terjejas susulan penutupan sempadan dan penggantungan operasi penerbangan.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 KLN, berkata antara usaha yang dilakukan ialah menyelaras maklumat penerbangan komersial bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur.

“KLN turut mencari alternatif kaedah penerbangan yang bersesuaian dan pada kos yang berpatutan,” menurutnya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KLN mengambil berat permasalahan itu yang tular di media sosial membabitkan rakyat Malaysia di Mesir, Sudan dan Nigeria.

Katanya usaha berterusan KLN menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir sehingga hari ini telah memudah cara kepulangan sejumlah 5,291 pelajar ke tanah air walaupun situasi di negara itu masih terkawal dan operasi penerbangan komersial masih digantung berikutan pelaksanaan arahan kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa Mesir sejak Mac lalu.

Kamarudin berkata sehingga 1 Jun 2020, sejumlah 6,234 rakyat negara ini yang kini masih berada di benua Afrika telah berdaftar dengan kerajaan Malaysia.

“KLN, melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di Afrika, memantau rapat perkembangan kes Covid-19 di benua berkenaan dan akan sentiasa menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan-kerajaan negara di benua tersebut,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia di luar negara dinasihatkan untuk terus berhubung dengan perwakilan Malaysia yang berkenaan bagi mendapatkan perkembangan mengenai perkara itu dari semasa ke semasa.

KLN turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang ingin membantu memudah cara kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak Covid-19 oleh kerajaan di benua Afrika. – Bernama, 7 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen