PENDUDUK Petaling Jaya mahu Pasar Old Town PJ terus ditutup sehingga proses baik pulih dibuat demi kesihatan awam.
MyPJ, sebuah kumpulan penduduk dan Rukun Tetangga yang turut dianggotai pakar pelbagai bidang, berkata mereka terkejut dengan persekitaran daif pasar itu walaupun kerja pembersihan sudah dilakukan majlis perbandaran dan penyewa.
Mereka terkejut dengan persekitaran pasar itu selepas membuat tinjauan di kawasan itu semalam. Pasar itu dijadualkan dibuka semula pada 8 Jun selepas ditutup kerana Covid-19.
“MyPJ terkejut dengan keadaan daif pasar itu walaupun proses pembersihan giat dijalankan majlis perbandaran dan penyewa,” kata jurucakap Esham Salam yang merupakan seorang jurutera bertauliah.
“Infrastruktur pasar yang daif menghalang proses pembersihan atau nyah kuman dijalankan dengan berkesan,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Esham berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) wajar menyediakan lokasi sementara untuk peniaga terjejas sementara pasar itu dibaik pulih.
Menurutnya lagi, beberapa pensyarah Universiti Malaya sudah mengenalpasti lokasi lain yang boleh dijadikan pasar sementara bagi penjaja kembali berniaga.
“Terdapat tapak berhampiran Jalan Othman sendiri dan pakar daripada UM sudah mengenalpasti beberapa tapak yang boleh menempatkan struktur sementara bagi membolehkan peniaga meneruskan operasi,” katanya.
Esham berkata, MBPJ juga boleh menangguhkan bayaran sewa untuk peniaga buat sementara waktu.
Tambahnya, penduduk kawasan itu berhak menuntut MBPJ menyeimbangkan tuntutan kesihatan, ekonomi dan bekalan makanan.
“Pada masa sekarang, kesihatan jadi keutamaan terendah,” katanya.
Pasar itu ditutup sejak 27 April lalu selepas kes Covid-19 dikesan.
Kawasan itu kemudiannya diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) bermula 10 Mei yang berakhir pada 21 Mei, tetapi peniaga masih tidak dibenarkan beroperasi. – 7 Jun, 2020.
Komen