Masa depan restoran India suram walau PKP longgar


Chan Kok Leong

Seramai 1,200 ahli Primas terjejas teruk disebabkan PKP yang mula dikuatkuasakan 18 Mac lalu walaupun restoran dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan di dalam premis mulai 4 Mei, kata presidennya. Muthusamy Thirumeni. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

BANYAK restoran nasi daun pisang mungkin terpaksa ditutup kesan daripada sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19, kata Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Presidennya Muthusamy Thirumeni  berkata 15% restoran nasi daun pisang terpaksa ditutup kerana tidak semua pengusaha mendapat manfaat daripada bantuan yang diumumkan kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun kerajaan menyediakan Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Fund) dan Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), ramai ahli kami tidak mendapat manfaat daripadanya,” kata Muthusamy Thirumeni kepada The Malaysian Insight.

Pertama, ramai ahli Primas tidak cukup kelayakan untuk memohon pinjaman, lantas kini berdepan masalah aliran tunai.

Keduanya, kebanyakan pekerja restoran masakan India adalah warga asing, bermakna tidak memenuhi syarat bagi Program Subsidi Upah yang hanya untuk pekerja tempatan, kata Muthusamy.

Menurutnya, hampir dua bulan tutup disebabkan PKP yang mula dikuatkuasakan 18 Mac lalu, sehinggalah restoran dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan di dalam premis mulai 4 Mei, seramai 1,200 ahli Primas terjejas teruk.

“Paling lebih teruk terjejas ialah pengusaha yang baru mula berniaga sejak dua tahun lalu.

“Pengusaha restoran besar yang sudah lama berniaga mungkin masih boleh bertahan kerana mempunyai simpanan, tetapi bagi pengusaha kecil-kecilan atau baru mereka inilah yang berdepan masalah,” jelasnya.

Pemilik restoran Sri Seenu (sebelum ini dikenali sebagai Sri Paandi), Sinnaiah Alagan, berkata beliau terpaksa menutup lima daripada sebelas restorannya sepanjang PKP.

Pemilik restoran Sri Seenu (sebelum ini dikenali sebagai Sri Paandi) berkata beliau terpaksa menutup lima daripada sebelas restorannya sepanjang PKP.– Gambar The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

Menurut Muthusamy, kesan akibat PKP dijangka lebih teruk kerana terdapat sekitar 4,000 pemilik restoran India di Malaysia.

“Ini tidak termasuk gerai di tepi jalan kerana kebanyakan ahli Primas adalah mempunyai restoran di lot-lot kedai.” 

Selain aliran tunai, pengusaha juga berdepan masalah dengan pemilik premis yang enggan menurunkan sewa semasa PKP, serta kos-kos lain membabitkan pekerja asing.

“Kerajaan menyediakan program subsidi upah tetapi ia hanya untuk pekerja tempatan. Tetapi restoran India umumnya mengupah kira-kira 60% - 80% pekerja asing. Jadi kami tak layak.

“Lagipun, sekarang kami kena keluarkan RM300 bagi setiap pekerja asing untuk mereka jalani ujian Covid-19 sebelum boleh mula bekerja semula.” – 7 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen