TIDAK adil sekiranya platform perkhidmatan bilik penginapan Airbnb tidak dikenakan cukai pelacongan RM10, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz hari ini.
Nazri berkata, tujuan Putrajaya mengiktiraf Airbnb adalah untuk mengutip cukai bagi bertindak adil kepada industri hotel.
“Di bawah akta cukai kita akan kutip, kalau tidak kita tidak berlaku adil kepada hotel. Airbnb kita iktiraf untuk kutip cukai dia,” kata Nazri semasa menggulung Rang Undang-Undang Industri Pelancongan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.
“Kalau Airbnb itu dijual lebih daripada lima bilik dikendalikan satu syarikat, dia kena bayar apa yang dikatakan cukai…kena bayarlah”.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, bagi perkhidmatan yang mempunyai kurang daripada lima bilik, cukai RM10 tidak akan dikenakan.
“Lima ke bawah tak anggap sebagai satu perniagaan. Itu side income. Kalau lebih lima, pondok pun saya akan cari,” katanya.
Menurut Nazri, sekalipun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mengiktiraf Airbnb, cukai pelancongan akan tetap dikutip kerana ia merupakan satu hal yang berbeza.
“Katalah di Sabah mereka tak diiktiraf sebagai hotel, tak adil bagi hotel di Sabah kalau kita tak kutip. Itu hak PBT.
“Sepatutnya kalau PBT tak iktiraf Airbnb tutup terus, jangan bagi dia berniaga,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen