KESTABILAN politik wajib ada jika negara mahu keluar dari kemelut ekonomi ekoran Covid-19, kata pakar ekonomi.
Hal demikian perlu ada kerana dasar-dasar harus dibuat secara objektif dan bukannya untuk keuntungan pihak-pihak tertentu.
Apa yang menyebabkan Malaysia bertahan dan pulih daripada kemelut ekonomi sebelum ini, seperti krisis kewangan 1997 dan kemelesetan 2008 adalah kesan daripada kestabilan politiknya, kata penasihat ekonomi Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Abd Aziz Abu Bakar.
Oleh itu, untuk pulih dengan cepat daripada krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19, ahli politik Malaysia mesti mengekalkan kestabilan dan objektif dalam beberapa bulan mendatang, katanya.
“Malaysia telah dikenali bahkan di masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang memiliki kestabilan politik, itulah kekuatan kita,” kata Abd Aziz, yang juga presiden Persatuan Akauntan Cukai Malaysia.
“Sayangnya sekarang tidak. Dan saya sangat berharap apabila kita membuat keputusan ekonomi, tidak berdasarkan sentimen politik atau isu-isu,” kata beliau lagi dalam webinar bertajuk “Covid-19 Safety Net for People and the Economy: How to Fund it? “
“Bagus juga apabila menteri kewangan yang baharu adalah seorang latar belakang perbankan, Tengku Zafrul Abdul Aziz,” katanya dalam webinar yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China.
“Saya harap dia tidak menceburkan diri dalam politik dan fokus dalam bidang sosial dan ekonomi dalam hal kewangan kerana keputusan-keputusan yang beliau ambil bagus.”
Abd Aziz turut mengulas kemelut politik dalam pentadbiran Perikatan Nasional yang mengambil alih kuasa pada akhir Februari lalu dalam sebuah gerakan kudeta tanpa darah.
Perikatan menanggung krisis kredibiliti kerana menjatuhkan gabungan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Sejak bulan Mac, kerajaan menangani krisis wabak Covid-19 dengan memberikan suntikan dana berbilion ringgit bagi membantu perniagaan terus bertahan dan pekerja dapat meneruskan pekerjaan.
Beberapa minggu lalu menyaksikan perbahasan bahawa pentadbiran Perikatan yang baharu berusia tiga bulan kini telah kehilangan majoriti parlimen desas-desus mengatakan beberapa ahli Parlimen meninggalkan gabungan politik kerajaan.
Pengkritik Perikatan juga mempersoalkan pelantikan Tengku Zafrul, yang bukan ahli politik namun diberikan jawatan kanan kerajaan.
Bagaimanapun, Abd Aziz mengatakan bahawa pelantikan Zafrul adalah salah satu keputusan terbaik oleh Perikatan setakat ini.
“Ada baiknya mereka melantik menteri kewangan baharu yang bukan ahli politik. Saya harap dia tidak masuk ke dalam politik dan menumpukan perhatian pada sosial dan ekonomi kerana keputusan dan dasar kementeriannya hingga kini, boleh dipuji. “
Dalam tiga bulan pentadbiran Perikatan, beliau memperuntukkan sekitar RM260 bilion dalam dua pakej rangsangan ekonomi, yang dinamakan sebagai “Perihatin”, yang bertujuan untuk membantu perniagaan dan pekerja.
Pada 5 Jun, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM35 bilion yang dikenali sebagai “Penjana” bagi membantu dan meningkatkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana, di samping membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.
“Setelah pembentangan pelan pemulihan (pada 5 Jun), bagi ketika ini, pemerintah mengambil keputusan yang cermat dari segi dasar dan langkah-langkah bagi membantu perniagaan dan individu. Mudah-mudahan ini berterusan” kata Abd Aziz.
Antara skim dan program yang bermanfaat menurut Abd Aziz adalah skim subsidi gaji, skim Bantuan Prihatin dan geran kecil untuk perniagaan kecil dan sederhana yang dikenali Prihatin PKS. – 6 Jun 2020.
Komen