LEBIH 2,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia akan dihantar pulang hari ini menerusi tiga penerbangan berbeza ke Jakarta, Medan dan Surabaya, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ini merupakan fasa pertama penghantaran pulang 2,189 Pati dan fasa kedua akan melibatkan 2,623 pekerja haram dari republik yang sama.
“Hari ini ada tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya. Kita akan menghantar pulang 2,189 rakyat Indonesia dan ini adalah fasa pertama.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Konsulat Indonesia di sini kerana bekerjasama.”
“Bagi fasa kedua, kita akan menghantar pulang 2,623 rakyat Indonesia apabila mereka menerima dokumen masing-masing,” katanya pada sidang media harian perkembangan hal keselamatan Covid-19 hari ini.
Ismail juga berterima kasih kepada China kerana setuju menerima penghantaran pulang 500 rakyatnya yang ditahan kerana tinggal di negara ini melebih tempoh yang dihadkan.
Berhubung kawalan sempadan, Ismail berkata pihak berkuasa baru-baru ini menahan 72 warga asing dan dua pengendali bot yang cuba memasuki negara ini mengikut laluan laut.
Turut ditahan termasuk 11 ahli kumpulan penyeludupan manusia dan 12 bot laju dirampas.
“Selain penahanan itu, kita juga berjaya menghalang kemasukan 132 pendatang asing tanpa izin ke negara ini melalui jalan laut,” tambahnya. – 6 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen