Pasar malam, pasar pagi boleh beroperasi bermula 15 Jun


Alfian Z.M. Tahir

Peniaga perlu patuh SOP yang ditetapkan kerajaan bagi kebenaran operasi pasar pagi, pasar malam dan bazar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

PASAR malam, pasar pagi dan bazar dibenarkan beroperasi semula dari 15 Jun mengikut waktu serta syarat tertentu, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Pasar pagi boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam dan bazar dari 5 petang hingga 11 malam.

“Kita mengambil keputusan membenarkan kesemua pasar ini beroperasi semula bermula 15 Jun.

“Tetapi mereka perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kami akan mengambil tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi SOP,” katanya pada sidang media harian perkembangan isu keselamatan Covid-19 hari ini.

Kata Ismail SOP itu merangkumi jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan iaitu 1.5 meter hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

“Pasar-pasar ini termasuk yang menjual makanan dibenarkan hanya menjual secara bawa pulang sahaja. Peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri, sarung tangan dan pelitup muka,” katanya.

Peniaga serta pengunjung diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhak menutup mana-mana perniagaan yang tidak mematuhi SOP itu.

Ismail Sabri berkata SOP itu turut boleh diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pasar-pasar di seluruh Malaysia. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen