Dr Mahathir, Najib masih popular


Chan Kok Leong

Dalam satu kaji selidik baru-baru ini mendapati, Dr Mahathir Mohamad masih mampu mencabar PN jika beliau bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak masih popular dalam kalangan pengundi Melayu, kata Ibrahim Suffian.

“Sokongan terhadap Najib sekitar 45%-50% dalam kalangan orang Melayu dan ia selari dengan sokongan Umno. Tetapi beliau tidak ada tarikan nasional.

“Sokongan untuknya terhad kepada satu bahagian melayu dan di tempat lebih rendah. Pada skala nasional, beliau berpecah belah,” kata pengarah eksekutif Merdeka Centre itu pada forum secara maya semalam.

Ibrahim antara panel pada forum anjuran Yusof Ishak Institk ute (ISEAS) bertajuk “Gabungan, Covid-19 dan Perubahan di Malaysia”.

Tetapi beliau berkata keadaan itu boleh diterima kerana Umno yang akan bertanding di kerusi Melayu.

“Najib masih boleh mainkan peranan. Walaupun beliau kempen sedikit saja ketika Pilihan Raya Kecil Semenyih, Cameron Highlands dan Tanjung Piai, BN dapat lebih 70% undi Melayu.”

Berkenaan Dr Mahathir, Ibrahim percaya negarawan berusia 95 tahun itu masih ada sokongan yang banyak.

“Dalam kaji selidik pada Januari, sokongan Melayu terhadap Dr Mahathir sekitar 52%. Dan ketika menjadi perdana menteri, beliau ada sokongan kuat daripada Melayu dan bukan Melayu.

“Jika beliau bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang, beliau boleh cabar Perikatan Nasional (PN) untuk undi Melayu dan boleh menjangkau undi Melayu,” kata Ibrahim

Tindakan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari membolehkan pakatan PN membentuk kerajaan persekutuan yang baharu dengan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

PN diterajui tiga parti Melayu utama – Umno, PAS dan parti Muhyiddin, Bersatu.

Dr Mahathir baru-baru ini dikatakan cuba sekali lagi bekerjasama dengan parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan, antara lain, untuk mengambil alih kerajaan persekutuan. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen