MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque untuk menangguh larangan perjalanannya sementara menunggu keputusan penentuan perlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan.
Permohonan yang difailkan peguam utama Zulkiflee, Gopal Sri Ram dua minggu lalu bagi Mahkamah Tinggi membuat perintah rujukan tentang soalan-soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizah Nawawi hari ini berkata beliau tidak menemui isu Perlembagaan yang berkaitan dengan larangan perjalanan itu.
“Permohonan ini tanpa merit,” kata Azizah dalam keputusannya hari ini menolak permohonan itu dengan kos RM5,000.
Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Antara soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Gopal ialah sama ada keputusan dalam kes kerajaan Malaysia menentang Loh Wai Kong (1979) tidak sah dan terbatal serta tidak berkuatkuasa seperti yang diputuskan kerana diputuskan tanpa bidang kuasa dan, oleh itu, ia tidak mengikut Perkara 121 Persekutuan Perlembagaan yang dibacakan bersama Seksyen 67 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sebagaimana ditubuhkan pada 1979.
Menolak permohonan itu, Azizah berkata:“Saya berpendapat Perkara 121 bukan menjadi isu dalam permohonan substantif, tetapi ia hanya dibangkitkan untuk mempersoal kesahihan kes Loh Wai Kong sebagai duluan yang sah.”
Dalam kes 1979 itu, Loh telah memohon pasport selepas didakwa dalam satu kes jenayah. Loh kemudiannya mendapatkan perintah yang dia dibenarkan membuat perjalanan ke luar negara sebagai hak asasi di bawah Perkara 5 Perlembagaan. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hak itu tidak wujud.
“Dari awal lagi saya tidak meletakkan harapan tinggi dalam sistem kita,” kata Zunar selepas prosiding hari ini.
“Saya tidak kecewa sangat kerana ini memang dah dijangka. Tetapi kami akan melawan hingga ke akhirnya dengan semua sumber kami dalam proses perundangan.”
Zunar berkata beliau akan akan bercakap mengenai pengalamannya semasa rancangan bual bicara tele-conference yang dianjurkan Professional Cartoonists’ Organisation (Procartoonist) yang berpangkalan di London malam ini.
Zunar juga percaya beliau adalah satu-satunya kartunis di dunia yang dikenakan larangan perjalanan.
“Rakan kartunis saya di Kenya pun sangat terkejut. Dia fikir Afrika teruk, tetapi dia kata seolah-Malaysia seolah-olah berdepan lebih banyak masalah daripada Afrika.”
Zunar memohon semakan kehakiman untuk mencabar larangan perjalanan luar negeri yang dikenakan terhadapnya sejak 17 Oktober 2016.
Larangan itu dikenakan apabila Zunar dihalang daripada menaiki penerbangan untuk menghadiri forum di Universiti Kebangsaan Singapura. Tiada alasan diberikan terhadap larangan tersebut.
Bagaimanapun, kartunis itu dituduh atau disiasat kerana melanggar enam undang-undang enam sepanjang dua tahun lalu, yang paling serius adalah Akta Hasutan.
Zunar mendakwa hasil kerjanya yang menyindir kerajaan dan bertumpu kepada isu-isu rasuah diganggu. Kartun-kartunnya mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, yang sering digambarkan dalam gaya hidup yang mewah.
Zunar memfailkan cabaran undang-undang terhadap larangan perjalanan pada 7 Disember, dengan menamakan ketua pengarah Imigresen, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 14 April, mahkamah membenarkan permohonannya untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar larangan perjalanan yang dikeluarkan terhadapnya.
Larangan perjalanan juga dikenakan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Walaupun ia ditarik balik, kedua-dua mereka mencabar kesahihan larangan itu namun gagal. – 29 November, 2017.
Komen