AHLI Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang bertanding sebagai calon bebas dan kemudiannya menyertai PKR mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan hari ini.
“Dengan ini saya mengumumkan untuk keluar dari PKR dan kekal menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional serta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Jugah bertanding di kerusi luar bandar Sarawak pada 2018 sebagai calon bebas dan bergabung dengan PKR selepas menang atas mandat rakyat.
Sebagai kerusi luar bandar katanya Lubok Antu memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk pembangunan.
“Saya telah berbincang dengan penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional.
“Demi kesejahteraan dan pembangunan rakyat di Lubok Antu, saya berikrar menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan kerajaan negeri Sarawak pimpinan GPS yang diketuai Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg,” katanya.
Jugah juga berkata beliau kesal apabila berlaku permasalahan dalaman di antara parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan dan perdana menteri ketika itu meletakkan jawatan mengakibatkan kerajaan itu tumbang. – 5 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen