PUTRAJAYA akan melakukan satu pindaan Akta Dadah Berbahaya 1958 bagi memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada mahkamah untuk menghukum pengedar dadah dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan yang dikemukakan kepada kerajaan.
“Kerajaan akan melakukan pindaan di peringkat jawatankuasa terhadap Seksyen 39B Akta 234 untuk memberikan kuasa budi biacara sepenuhnya kepada mahkamah.
“Cadangan pindaan ini digubal dengan teliti dengan mengambil kira niat utama kerajaan untuk memberikan mesej pencegahan yang serius dan meningkatkan keberkesanan operasi bagi agensi penguatkuasaan dalam membanteras masalah pengedaran dadah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azalina, notis pemberitahuan kepada setiausaha dewan berkaitan pindaan tersebut telah dihantar untuk memaklumkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017.
“Pindaan ini menunjukkan keterbukaan kerajaan khususnya Perdana Menteri Najib Razak yang sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara inklusif,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen