LEBIH 200 penduduk Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor marah berikutan pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dibuat berdekatan rumah mereka.
Mereka berkata sejak pembinaan lebuh raya mega itu bermula, banyak jalan raya telah rosak, selain banjir kilat dan tanah runtuh kerap berlaku.
Wakil penduduk, Junaidi Jamaluddin, 39, berkata, mimpi ngeri penduduk bermula pada 1 September 2016.
“Kehidupan kami berubah selepas aktiviti pembalakan bermula. Sejak daripada itu, macam-macam bencana berlaku.
“Banjir kilat sahaja sudah lima kali berlaku. Hidup kami jadi tak tenteram bila hujan,” katanya.
Junaidi berkata, kejadian paling teruk berlaku pada 11 November lalu di tiga buah sekolah agama ketika 250 pelajar berumur antara tujuh hingga 17 tahun sedang belajar.
“Ada tiga tahfiz dan sebuah rumah anak yatim. Dalam hanya 15 minit banjir kilat berlaku, habis semua pakaian budak-budak, buku-buku sekolah, perabot, dan barang-barang lain.
“Kami bernasib baik sebab tak ada budak-budak yang jadi mangsa banjir itu,” katanya.
Junaidi berkata, sudah banyak rungutan diberikan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk menghentikan kerja-kerja itu pada 24 Oktober.
Bagaimanapun, pemaju mengabaikan arahan, malah terus meneruskan pembinaan.
“Kami risau dengan pembangunan di cerun bukit yang hanya 10 meter dari rumah kami, di mana sudah dua kejadian tanah runtuh berlaku.
“Adakah mereka (pemaju) tunggu tragedi berlaku baru nak ambil tindakan?” katanya.
“80 peratus air datang dari sungai Bukit Seputeh tapi mereka kena ubah laluan air dan sekarang kami kena berjalan lebih 1km untuk dapatkan air,” katanya.
Tambah Junaidi, penduduk mahukan kerajaan Selangor campur tangan menghentikan pembinaan itu dan minta pemaju pulihkan kawasan itu.
“Kami mahu pemaju buat sistem saliran dan ubah laluan air yang menyebabkan banjir.
“Kami juga mahu ganti rugi dari pemaju kerana menjahanamkan punca air. Kami juga menuntut ganti rugi terhadap barang-barang sekolah tahfiz dan rumah anak yatim yang telah dimusnahkan akibat banjir.
“Kami juga mahu panel meneliti EKVE dan menuntut supaya penduduk diletakkan di dalam kalangan ahli panel,” katanya.
EKVE yang menelan belanja RM1.5 bilion itu akan menjadi penghubung untuk lima persimpangan iaitu Ungai Long, Bandar Mahkota Cheras, hulu Langat, Ampang dan Ukay Perdana.
Dalam masa sama, kumpulan pejuang alam sekitar, Peka, TREES dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia menggesa pemaju memberhentikan projek itu dan membaik pulih dahulu kawasan itu.
Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, audit alam sekitar perlu disiapkan serta merta bagi dapat menilai isu-isu itu sebelum mengambil tindakan.
“Insiden telahpun berlaku. Saya tak dapat bayang apa lagi yang akan terjadi sepanjang lebuh raya itu.
“Janganlah buat pembangunan yang menjahanamkan alam sekitar,” katanya.
Shariffa berkata, pihak berkuasa perlu bertindak sebelum berlaku sebarang bencana yang meragut nyawa manusia.
“Projek itu perlu dibekukan dan isu kehidupan liar serta sumber air perlu diberi keutamaan.
“Pemaju perlu menyediakan call centre 24 jam bagi menjaga keselamatan penduduk,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen