Setahun proses rayuan keputusan kes SRC International babit Najib, kata peguam


Bede Hong

Keputusan sama ada bekas perdana menteri Najib Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan diketahui pada 28 Julai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Jun, 2020.

PROSES rayuan bagi kes SRC International membabitkan Najib Razak akan berjalan selama setahun selepas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membacakan keputusan pada 28 Julai, kata Pendakwa Raya V Sithambaram. 

Sithambaram, yang mengetuai pasukan pendakwaan selepas Tommy Thomas meletak jawatan peguam negara, percaya nasib Najib akhirnya akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Bagaimana pembelaan, atau pendakwaan mahukan untuk menilai kes tersebut akan tersebut, terpulang kepada mereka. Apa sahaja keputusan pada 28 Julai, ia bukan keputusan akhir,” kata Sithambaram kepada pemberita selepas prosiding hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan sejak Isnin berakhir hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau akan membacakan keputusan pada 28 Julai selepas meneliti lebih daripada 2,000 halaman hujahan bertulis yang dikemukakan peguam kedua-dua belah pihak.

Ketika pertengahan perbicaraan November lalu, Nazlan mengarahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

Sepanjang perbicaraan bermula 3 April tahun lalu, 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan. Manakala sebanyak 807 barang kes dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti.

Sithambaram memberitahu pemberita, selepas keputusan dibacakan, dokumen bukti akan difailkan sekiranya pihak yang kalah memfailkan rayuan, yang kebiasaannya dalam masa 14 hari.

“Selepas siap dan dihantar ke Mahkamah Rayuan, mahkamah akan menjalankan pengurusan kes dalam tempoh sebulan dan tarikh perbicaraan akan ditetapkan. Kemudian mahkamah akan beri arahan untuk kemukakan hujah bertulis.

“Rayuan akan mengambil masa empat ke enam bulan, dan selepas itu, pihak yang kalah akan menfailkan (ke Mahkamah Persekutuan), di mana satu lagi proses rayuan akan mengambil masa lagi empat ke enam bulan.

“Secara keseluruhannya, saya jangka palin lama pun kira-kira setahun untuk kes ini akhirnya ditentukan. Paling awal pun, lapan bulan. Itu anggaran saya. Semuanya bergantung kepada persediaan merekod rayuan dan alasan penghakiman,” katanya. – 5 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen