RUU Covid-19 dibentang Julai, kata perdana menteri


Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) akan dibentangkan di Parlimen pada Julai nanti bertujuan mengurangkan kesan perundangan ekoran penularan pandemik tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

PELEPASAN tanggungjawab perjanjian semasa pandemik Covid-19 akan dilindungi oleh undang-undang baharu yang akan dibentangkan pada Julai, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata, Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) itu bertujuan untuk mengurangkan kesan perundangan ekoran penularan pandemik tersebut.

“Rang Undang-Undang ini merupakan pelepasan sementara atau temporary relief daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

“Kerajaan berharap dengan adanya akta baharu ini, kelangsungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan.

“Insha-Allah, kerajaan akan membentangkan RUU ini pada sesi Parlimen bulan Julai nanti,” katanya ketika mengumumkan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) petang ini.

Antara isu perundangan yang timbul tindakan kerajaan menangani wabak tersebut adalah moratorium ke atas pinjaman bank.

 

Pelaksanaan selama enam bulan bermula April itu tidak berjalan lancar kerana bank didapati masih mengenakan faedah terakru dan dan keuntungan ke atas moratorium.

Susulan tekanan pengguna, bank kemudiannya pada bulan lalu bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah bagi tempoh itu.

Moratorium itu diumumkan Muhyiddin dalam pakej rangsangan pertama pada April melibatkan pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam.

Ia memberi kelonggaran kepada peminjam untuk menangguhkan bayaran selama enam bulan bagi meringankan beban bagi menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Sesetengah penganalisis menyuarakan kebimbangan kadar tunggakan bayaran pinjaman daripada individu dan syarikat yang terjejas aliran tunai akan meningkat selepas tempoh moratorium. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen