PAS akan memainkan peranan lebih besar di peringkat nasional jika wujud kerajaan Muafakat Nasional, dengan lebih banyak memegang jawatan menteri kanan dan kawalan kerajaan negeri, kata penganalisis politik.
Tetapi kerajaan Muafakat Nasional akan hanya boleh diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 jika pakatan itu memenangi kuasa persekutuan.
Pakatan pilihan raya boleh menyaksikan kedua-dua parti memperoleh lebih 90 kerusi Parlimen. Pada masa ini, PAS dan Umno mengawal 57 kerusi di Parlimen.
Dengan blok Parlimen sebesar itu bermakna, mana-mana kerajaan pada masa depan akan terpaksa memasukkan Umno dan PAS sebagai rakan kerjasama sama dominan, kata penganalis di seminar online bertajuk “Umno di persimpangan: Kesannya kepada politik Malaysia”, yang dianjurkan oleh S Rajaratnam School of International Studies.
Penganalisis politik Mazri Muhammad menolak cadangan bahawa Umno dan PAS akan berdepan masalah berkaitan peruntukan kerusi antara mereka, memandangkan mereka sering bertanding di kerusi yang sama.
“Selepas PRU lalu, halangan antara Umno dan PAS tiada kerana mereka percaya tidak masuk akal untuk mereka terus bertelagah, yang bermula sejak 1951,” kata Mazri yang juga bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak dari 2009 hingga 2013.
Hubungan lebih baik antara dua parti itu turut disemai sejak lebih 10 tahun lalu antara bekas presiden Umno Najib dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata Mazri, yang juga pernah bertugas sebagai timbalan ketua bahagian penyelidikan dan dasar untuk Najib.
“Saya tidak nampak masalah dalam peruntukan kerusi. Saya lihat sekarang selepas PAS ada kuasa dalam kerajaan persekutuan, mereka tidak mahu lagi jadi rakan junior.
“Mereka mahu jadi rakan sekerja dan ini perlu dicerminkan dalam peruntukan kerusi. Mereka akan mahu kesamarataan. PAS akan mahu jawatan timbalan perdana menteri dan beberapa kementerian kanan untuk menunjukkan pendiriannya.
“Mereka akan mahu kementerian dan jawatan dalam kerajaan di mana mereka boleh mempengaruhi pembangunan masa depan masyarakat Malaysia,” kata Mazri.
Mazri berkata matlamat untuk mencipta kerajaan pertama didominasi Melayu-Islam di peringkat persekutuan akan mengurangkan perbezaan antara dua parti itu.
“Ia lebih mudah untuk Umno dan PAS kerana tujuan utama ialah kuasa politik di peringkat negeri dan persekutuan. Untuk pertama kalinya, mana-mana kerajaan sekalipun, ia akan didominasi oleh majoriti Melayu-Islam.”
Sebagaian negeri akan ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah sementara Pahang, Johor dan Perak akan kekal dengan Umno.
Parti Islam itu juga akan mahu bertanding di negeri di mana mereka merasakan perlu ada kubu kuat di situ seperti Selangor dan Johor, kata Mazri.
“Matlamat utama ialah kuasa dan kerajaan di mana PAS dan Umno akan dominan. Ini akan mengatasi segala yang lain.” – 5 Jun, 2020.
Komen