FIJI pada Jumaat mengumumkan ia bebas daripada Covid-19 selepas pesakit terakhir yang dijangkiti di negara kepulauan itu disahkan pulih, meneruskan catatan kejayaan Pasifik yang luar biasa terhadap virus tersebut.
Walaupun berlaku panik di kalangan 930,000 penduduk Fiji ketika kes koronavirus pertama diumumkan pada pertengahan Mac, tetapi langkah pengasingan dan kawalan sempadan yang ketat berjaya mengekang jangkitan, dengan hanya mencatatkan 18 kes.
Perdana Menteri Frank Bainimarama mengaitkan status bebas virus negara itu sebagai “doa yang dimakbulkan, kerja keras, dan pengiktirafan kepada sains”.
“Fiji baru saja mengesahkan pesakit Covid-19 yang aktif pulih sepenuhnya,” kata beliau.
“Dan walaupun jumlah ujian kami meningkat setiap hari, kini sudah 45 hari sejak kes terakhir kami. Tanpa kematian, kadar pemulihan kami adalah 100%.”
Kepulauan Pasifik pada mulanya dianggap sebagai yang paling terdedah terhadap virus di dunia kerana infrastruktur kesihatan yang kekurangan sumber dan kadar tinggi masalah kesihatan seperti diabetes dan penyakit jantung.
Terdapat juga kebimbangan pengasingan geografi mungkin mengubah pulau kepada inkubator jangkitan, seperti ketika wabak campak di Samoa akhir tahun lalu yang membunuh 83 orang, kebanyakannya bayi dan kanak-kanak.
Namun, negara di wilayah ini bertindak cepat dan membuat keputusan sukar dengan menutup sempadan dan perdagangan pelancongan yang menjadi sumber utama ekonomi mereka, bagi melindungi rakyatnya.
Kesannya, banyak yang tiada kes virus termasuk Palau, Tonga, Kepulauan Solomons, Samoa, Kepulauan Marshall, Vanuatu, Kepulauan Cook dan Mikronesia.
Fiji menyatakan minatnya untuk bergabung “gelembung perjalanan” bebas kuarantin dengan Australia dan New Zealand, dua negara yang juga berjaya membendung virus tersebut.
The Cooks, yang merupakan salah satu negara pertama di dunia yang mengisytiharkan bebas virus pada pertengahan April, dilaporkan mengumumkan langkah membuka kembali sempadannya dengan berhati-hati.
Perdana Menteri Henry Puna berkata warga dan mereka yang mempunyai permit kerja yang telah berada di New Zealand selama 30 hari tidak lama lagi akan dibenarkan pulang tanpa perlu dikuarantin, lapor Cook Islands News.
Akhbar itu berkata langkah berkenaan adalah “langkah pertama untuk membawa pulang pelancong”. – AFP, 5 Jun, 2020.
Komen