Jordan umum tarik balik sekatan 


Perdana Menteri Jordan Omar al-Razzaz mengumumkan penarikan balik sebahagian besar sekatan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar EPA, 5 Jun, 2020.

JORDAN pada Khamis mengumumkan akan menarik balik sekatan yang dikenakan untuk mengekang penyebaran koronavirus, menyaksikan masjid, restoran dan gereja dibenarkan untuk dibuka semula.

Akan ada “tempoh kelonggaran awam” bagi langkah pengurungan, kata Perdana Menteri Omar al-Razzaz kepada wartawan pada Khamis.

Menteri Penerangan Amjad al-Adayleh berkata kebanyakan sekatan yang dikenakan selama dua bulan lalu untuk mengendalikan virus akan ditarik balik mulai Sabtu.

Pengumuman itu dibuat ketika negara menyaksikan penurunan jangkitan baru yang disahkan kepada kurang 10 kes sehari dalam seminggu terakhir.

Jordan mengesahkan jumlah kumulatif 765 kes penyakit pernafasan dan hanya sembilan kematian.

Masjid, gereja, pelabuhan, aktiviti perniagaan, restoran dan kafe akan dibenarkan untuk dibuka semula dan perjalanan antara bandar juga akan dibenarkan mulai Sabtu, kata pihak berkuasa.

Kegiatan pelancongan juga akan diizinkan bagi penduduk Jordan, dengan penerbangan domestik disambung dan hotel beroperasi semula.
Bagaimanapun, sekolah, universiti dan pawagam masih ditutup dan penggantungan penerbangan antarabangsa tetap diteruskan.

Langkah penjarakan sosial juga perlu terus dilaksanakan, kata pihak berkuasa.– AFP, 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen