Risiko maut lebih tinggi bagi pesakit hipertensi dijangkiti Covid-19, kata kajian


Pesakit dijangkiti virus yang berhenti mengambil ubat tekanan darah tinggi, risiko kematian meningkat dua kali ganda, lapor penyelidik dalam European Heart Journal. – Gambar AFP, 5 Jun, 2020.

PESAKIT darah tinggi yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan koronavirus dua kali ganda berisiko maut berbanding yang lain, kata para penyelidik pada Jumaat.

Bagi pesakit dijangkiti virus yang berhenti mengambil ubat tekanan darah tinggi, risiko kematian meningkat dua kali ganda, lapor mereka dalam European Heart Journal.

“Penting bagi pesakit darah tinggi menyedari mereka risiko maut tinggi akibat Covid-19,” kata penulis kanan Fei Li, seorang pakar kardiologi di Hospital Xijing di Xian, China.

Bagi kajian ini, para penyelidik di China dan Ireland secara retroaktif memeriksa kes yang dimasukkan ke Hospital Huoshenshan di Wuhan antara 5 Februari hingga 15 Mac.

Hampir 30% - 850 pesakit - mempunyai sejarah hipertensi, istilah lain bagi tekanan darah tinggi.

Sebanyak 4% pesakit tersebut meninggal dunia, dibandingkan dengan hanya 1% daripada 2,027 pesakit tanpa hipertensi.

Selepas menyesuaikannya dengan usia, jantina dan keadaan perubatan lain, para penyelidik berpendapat mempunyai tekanan darah tinggi meningkatkan risiko mut sebanyak dua kali ganda.

Dalam meta-analisis berasingan daripada tiga kajian lain yang merangkumi 2,300 pesakit Covid-19 dari hospital yang sama, para penyelidik menyiasat kesan ubat tekanan darah yang berbeza terhadap kadar kematian.

Bertentangan dengan jangkaan mereka, didapati sekumpulan ubat yang dikenali sebagai perencat RAAS - yang merangkumi perencat enzim penukar angiotensin (ACE) dan penyekat reseptor angiotensin (ARB) - tidak dikaitkan dengan kematian Covid-19 yang lebih tinggi.

Sememangnya, risikonya agak berkurang.

“Kami menyarankan agar pesakit tidak menghentikan atau mengubah rawatan anti-hipertensi biasa kecuali jika diarahkan oleh doktor,” kata pengarang bersama Ling Tao, seorang profesor di Hospital Xijing.

Penulis berkata kajian mereka adalah pemerhatian dan tidak berdasarkan ujian klinikal, yang bermaksud penyelidikan lebih lanjut diperlukan sebelum dapat membuat cadangan klinikal yang kukuh. – AFP, 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen