Dalam Perikatan atau Pakatan, Bersatu hidup segan, mati tak mahu


Sheridan Mahavera

Selepas khianat Pakatan Harapan, Bersatu kini masih belum dapat menjamin sokongan Umno dan PAS kepadanya berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

SELEPAS Langkah Sheraton, Bersatu “hidup segan, mati tak mahu”, tidak kisahlah sama ada ia setia dengan Perikatan Nasional (PN) atau kembali masuk Pakatan Harapan, kata penganalisis politik.

Parti Melayu itu yang kini bergolak hebat mungkin mempunyai peluang tipis untuk terus bertahan dalam PN hanya sekiranya mereka masih memegang kuasa kerajaan persekutuan dan mampu menggerakkan jentera untuk meraih sokongan popular.

Bersatu juga boleh cuba mengukuhkan sokongan Umno dan PAS dengan mengesahkan dan merasmikan kerjasama politik yang terjalin, walaupun kedua-dua parti itu nampaknya tidak berapa senang dengan idea itu.

Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional sebelum ini sudah menyatakan sokongan mereka terhadap PN hanyalah sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Walaupun wujud cakap-cakap tentang pemimpin dan ahli Bersatu kembali menyertai Umno, masa depan mereka tidak terjamin, kata penganalisis pada seminar web anjuran S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura.

Salah seorang ahli panel, Mazri Muhammad, bekas pegawai khas dalam pentadbiran Barisan Nasional misalnya memberikan “penilaian tajam” tentang masa depan Bersatu, berkata sekutunya sekarang, Umno dan PAS berkemungkinan besar tidak akan bertolak ansur.

“Awak perlu tanya Umno dan PAS jika mereka akan berikan mana-mana kerusi kepada Bersatu jika mereka percaya boleh menang dalam pilihan raya umum?” soal Mazri, yang merupakan bekas pegawai khas Najib Razak sejak 2009 sehingga 2013.

“Tidak, kerana mereka bertanding kerusi yang sama dan (mahu) meraih pengundi Melayu yang sama,” kata Mazri yang juga bekas timbalan ketua bahagian kajian dan dasar pentadbiran Najib.

“Umno adalah parti lama yang kukuh dan berideologi. Begitu juga PAS. Awak tahu apa yang awak akan dapat dengan PAS dan Umno. Bersatu pula masih dalam tahap mentah (ideologi dan jentera).

“Umno tahu jika pilihan raya diadakan esok mereka akan menjadi parti terbesar bersama-sama PAS,” katanya, merujuk kepada fakta yang Umno tidak ada niat berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Tindakan Muhyiddin Yassin membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan mencetuskan kemarahan rakyat dan mengheret negara ke krisis politik tidak berkesudahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

Bersatu yang pernah menjadi sekutu PH, bertanding melawan Umno dan PAS merebut kerusi majoriti Melayu pada PRU14 lalu.

Bersatu dibentuk pada 2016 oleh bekas tokoh Umno seperti Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin selepas mereka berbalah dengan Najib Razak kerana skandal 1Malaysia Development Bhd.

Majoriti ahli Bersatu adalah bekas ahli Umno dan parti itu sendiri adalah “bayangan” Umno dan PAS dalam PH.

Seorang lagi ahli panel, Prof Hamidin Abd Hamid dari Universiti Malaya, berkata Bersatu berdepan “jalan mati” dalam PN atau PH, tetapi masih ada harapan dalam PN kerana ia adalah kerajaan semasa.

“Muhyiddin (presiden Bersatu) masih perdana menteri dan mereka ada sedikit kelebihan jika pilihan raya umum diadakan, dan jika Muhyiddin boleh membentuk PN secara rasmi,” kata Hamidin yang juga felo penyelidik Ilham Centre.

Kerjasama rasmi bersama-sama Umno dan PAS bermaksud kedua-dua parti itu perlu mencapai persetujuan pembahagian kerusi dengan Bersatu bagi menjamin kejayaan dalam pilihan raya.

“Jika dia tidak boleh buat begitu, maka sukar untuk Bersatu terus bertahan kerana mereka berada dalam kolam sama dengan Umno dan PAS,” tambahnya, merujuk kepada fakta yang ketiga-tiga parti itu mahu meraih undi Melayu.

Sekiranya Bersatu kembali kepada PH, masa depan mereka juga gelap kerana DAP, Amanah dan PKR masih lagi terkesan dengan pengkhianatan dilakukan.

Hujung Februari lalu, Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH, menyebabkan kerajaan yang dibentuk pada PRU14 tumbang. Bersatu kemudian membentuk PN bersama Umno dan PAS.

“Adakah PH akan melayan mereka sebagai sekutu setaraf selepas apa yang berlaku? Jadi, ia adalah proses perlahan kemusnahan (Bersatu) kecuali mereka boleh mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka sekarang dalam kerajaan.” – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen