Kes pemburuan haram di India meningkat semasa tempoh sekatan pergerakan


Sebanyak 88 kes pemburuan haram dilaporkan di India dari 23 Mac hingga 3 Mei berbanding 35 dalam tempoh enam minggu sebelum sekatan pergerakan. – Gambar EPA, 4 Jun, 2020.

PEMBURUAN haram di India meningkat dua kali ganda semasa sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19, menurut kajian dilakukan kumpulan pemuliharaan.

Sebanyak 88 kes pemburuan haram dilaporkan dari 23 Mac hingga 3 Mei berbanding 35 dalam tempoh enam minggu sebelum sekatan pergerakan, menurut kenyataan agensi pemuliharaan haiwan, TRAFFIC pada Rabu.

“Laporan mengenai aktivi haram itu dipercayai untuk kegunaan dan pasaran tempatan, meningkat lebih dua kali sepanjang sekatan pergerakan,” tambah kenyataan itu.

India mengenakan kuarantin kendiri pada 22 Mac sebelum sekatan pergerakan seluruh negara dikuat kuasa bermula 25 Mac.

“Walaupun beberapa (haiwan) sering mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, sebahagian besar pemburuan haram semasa tempoh sekatan pergerakan dipercayai untuk mendapatkan daging atau dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Sembilan harimau bintang mati dalam tempoh enam minggu pertama.

Mereka yang ditahan pula seramai 222 orang berbanding 85 orang sebelum sekatan pergerakan. – Bernama, 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen