NAJIB Razak adalah mangsa konspirasi dirancang Low Taek Jho, bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil serta jurubank penyangak, kata pihak pembelaan dalam penghujahan penutup hari ini.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang kes pembelaan terbukti lebih rumit daripada jangkaan kerana ramai individu terlibat dan “prejudis” dihadapi Najib disebabkan kedudukannya selaku bekas perdana menteri.
“Mustahak untuk mengingatkan mahkamah yang apabila kami tampil di hadapan Yang Arif, kami ada meluahkan kerisauan tentang prejudis yang kes ini terima daripada ruang awam dan kemungkinan daripada lingkungan kehakiman sendiri,” kata Shafee kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Kes ini menjadi rumit hanya kerana individu yang terlibat. Iaitu apabila lelaki ini (Najib) mempunyai kuasa besar sebagai perdana menteri.
“Dan kerana itu, saya mahu katakan disebabkan kedudukan beliau, banyak prejudis yang terkait kepadanya seperti mana soalan yang dibangkitkan rakan searif saya (Pendakwa Raya Kanan V Sithambaram), yang berkata selaku orang yang berpengetahuan dan arif soal kewangan, bagaimana beliau tidak sepenuhnya menyedari tentang asal usul wang dalam akaun banknya?
“Hakikatnya, sangat sukar bagi kami menghasilkan kes pembelaan sebaik mungkin. Kerana pembelaan kami, adalah pembelaan menyatakan kebenaran, yang Datuk Seri Najib sendiri adalah mangsa penipuan dan siri salah perwakilan oleh orang seperti Jho Low dan Nik Faisal dan kumpulan jurubank penyangak seperti Joanna Yu dan pengurusan kanan lain dalam SRC.”
Pembelaan bertegas yang Najib tidak pernah sedar sepenuhnya sumber RM42 juta yang masuk ke dalam akaunnya antara Disember 2014 dan Februari 2015, malah pendakwaan sendiri gagal menyakinkan mahkamah sumber itu.
Shafee berkata bukti menunjukkan eksekutif dan penyangak jurubank melaksanakan arahan bagi pihak Jho Low demi kepentingan peribadi Jho Low, yang dengan penuh teliti merancang mekanisme bagi memenuhi kepentingannya, dan perkara ini tidak diketahui Najib. – 4 Jun, 2020.
Komen