277 kes baharu hari ini, jumlah kes Covid-19 Malaysia cecah 8,247


Dr Noor Hisham berkata 271 daripada kes baharu hari ini melibatkan warga asing, dengan 270 kes dikesan di Depot Imigresen Bukit Jalil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

MALAYSIA hari ini merekodkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi apabila 277 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 8,247, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata 271 daripada kes baharu hari ini melibatkan warga asing, dengan 270 kes dikesan di Depot Imigresen Bukit Jalil.

“Ini dikesan daripada ujian berulang ke atas tahanan yang dikuarantin di depot itu. Mereka terdedah kepada kes positif sebelum ini,” katanya.

Satu lagi kes melibatkan warga asing dikesan di Pudu.

Sementara itu, 28 orang disahkan pulih dan sudah dibenarkan keluar hospital tengahari tadi.

Ini menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 6,559.

Kes aktif pula kini sebanyak 1,573, dengan sembilan pesakit dirawat dalam ICU.

Tiada kematian dilaporkan hari ini menjadikan Malaysia tidak melaporkan korban wabak selama hampir dua minggu.

Jumlah korban wabak masih kekal 115 orang setakat ini. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen