MAJIKAN tidak dibenarkan mengenakan kuarantin wajib ke atas kakitangan yang melakukan perjalanan rentas negeri peribadi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Tambahnya juga, majikan juga tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.
“Hanya kerajaan boleh mengenakan kuarantin mandatori dan ia adalah untuk mereka yang pulang dari luar negara atau mereka dari Sabah dan Sarawak yang masuk Semenanjung,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
“Majikan tidak boleh membuat peraturan mereka sendiri dan ini bukanlah garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada syarikat boleh mengarahkan kakitangan menjalani kuarantin dengan mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji selepas melakukan perjalanan rentas negeri atas urusan kerja atau peribadi.
Perjalanan rentas negeri setakat ini hanya dibenarkan dengan kebenaran polis untuk urusan kecemasan termasuk kematian ahli keluarga, kerja atau pasangan suami isteri yang lama terpisah kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). – 4 Jun, 2020.
Komen