DAKWAAN pihak pendakwa bahawa RM42 juta dalam akaun Najib Razak berasal dari pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International bercanggah dengan keterangan pegawai penyiasat kes berkenaan, kata peguam bela bekas perdana menteri itu dalam penutup penghujahan lisan hari ini.
Peguam Farhan Read memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebab sebenar atau kebarangkalian RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun Najib antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015 masih belum dapat dibuktikan.
“Terdapat bukti bahawa keterangan jelas oleh pegawai penyiasat (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rosli Hussain) bahawa RM42 juta bukan dari pinjaman KWP,” kata Farhan.
“Oleh itu, tiada hubung kait antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang membawa kepada pinjaman KWAP dengan RM42 juta.”
Beliau memberitahu mahkamah, tiada bukti untuk mengaitkan RM42 juta dari SRC International dan apa sahaja berkaitan dengan pinjaman KWAP dan dua jaminan kerajaan (yang dikeluarkan pada 2011 dan 2012).
Farhan berkata ini berdasarkan kepada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah dan keterangan saksi.
Jelasnya, tiada bukti menunjukkan bahawa Najib adalah “pengarah bayangan” SRC International atau apa sahaja kapasiti lain yang menyebabkan RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. – 4 Jun, 2020.
Komen