Korea Utara buka semula sekolah selepas beberapa kali tertangguh


Murid sekolah rendah memakai topeng muka sebagai langkah perlindungan terhadap Covid-19 menjalani pemeriksaan suhu ketika tiba di kSekolah Rendah Hasin di Daerah Sosong, Pyongyang. – Gambar AFP, 4 Jun, 2020.

PELAJAR Korea Utara kembali ke kelas dengan memakai topeng muka pada Rabu ketika sekolah dibuka semula selepas penggal baru ditangguhkan selama berbulan-bulan disebabkan langkah berjaga-jaga koronavirus.

Pyongyang belum satu pun mengesahkan kes penyakit mematikan yang melanda dunia selepas pertama kali muncul di negara jiran China, tetapi melaksanakan peraturan ketat, termasuk menutup sempadan dan mengasingkan ribuan rakyatnya.

Penggal persekolahan baharu pada mulanya dijadualkan awal April tetapi berulang kali ditangguhkan. Beberapa universiti dan sekolah menengah dibenarkan menyambung kelas pada pertengahan April.

Pelajar berpakaian seragam memasuki sekolah pada Rabu pagi, semuanya menyelit bunga merah dan memakai topeng muka.

Ada yang menggunakan topeng bedah pakai buang sementara yang lain memakai topeng kain.

Di sebuah sekolah rendah di Pyongyang, murid menyandang beg diperiksa terlebih dahulu suhu semasa tiba.

Di kelas, mereka berbaris untuk mencuci tangan menggunakan air dari baldi merah sebelum duduk.

“Anda harus menggosok tangan anda,” kata guru kepada mereka.

Pelajar memakai topeng mereka di kelas tetapi duduk rapat ketika mendengarkan guru mengajar - juga memakai penutup muka - bercakap mengenai kepemimpinan Korea Utara, matematik dan topik lain.

Penganalisis berkata Korea Utara tidak mungkin dapat mengelak daripada jangkitan virus dan sistem kesihatannya yang lemah terpaksa bergelut untuk mengatasi wabak besar itu.

Jumlah jangkitan koronavirus di seluruh dunia meningkat kepada lebih 6.3 juta orang, dengan sekitar 380,000 kematian di 196 negara dan wilayah. – AFP, 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen